Ibu Hamil Mesti Baca : Pemakanan ketika Hamil

  • Post author:
  • Post category:Uncategorized

Bergelar hamil biar anak nombor berapa sekalipun adalah sangat penting. Pemakanan ketika hamil adalah perkara utama.

Ibu mengandung ada yang suka mengunyah, maka sayur dan buah-buahan adalah pilihan utama.

Ada juga ibu hamil tak lalu makan jadi pemakanan ketika hamil dalam bentuk sup sayur dapat membantu ibu mendapatkan tenaga.

Asid Folik Mesti Ambil

Bermula seawal hamil, ibu akan dibekalkan asid folik bagi pengambilan setiap hari. Ianya bagi memastikan kesihatan bayi dari janin lagi.

Ada kajian menunjukkan bahawa jika ibu tidak mendapat penjagaan dan rawatan sempurna semasa hamil berhadapan risiko tiga kali ganda melahirkan bayi kurang berat badan.

Malah, ibu ini juga menghadapi risiko kematian bayi lima kali ganda berbanding ibu yang mendapatkan penjagaan semasa mengandung dan menjaga pemakanan ketika hamil.

Menurut Pakar Dietetik Hospital Pusrawi Kuala Lumpur, Norhaslinda Jefrezen, pemakanan ketika hamil memberi tumpuan kepada pembentukan sel dan perkembangan organ janin yang sangat pantas.

Ibu hamil memerlukan lebih 300 kalori sehari berbanding wanita yang tidak hamil untuk memenuhi keperluan diri dan bayi.

Dengan itu, diet mereka perlu diisi dengan makanan berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, susu rendah lemak, telur, keju dan bijirin.

“Nutrien seperti protein, asid folik dan vitamin B12 sangat diperlukan bukan sahaja untuk ibu, tetapi bayi yang dikandung.

Petikan dari artikel Puan Siti Zarinah Sahib, Harian Metro

Ibu Jangan Makan Terlalu Banyak

Mengikut keperluan piramid makanan, pertambahan kalori ibu hamil pada trimester pertama hanya 80 sahaja iaitu bersamaan dengan sekeping roti,” katanya.

Namun apa yang berlaku kebanyakan ibu terutama yang tidak mengalami alahan, makan apa sahaja tanpa mengira kalori yang diperlukan tubuh.

Pada anggapan mereka jika tidak makan, janin akan lapar sedangkan pertambahan jumlah kalori yang diperlukan adalah sangat kecil.

Selain kalori, protein, vitamin dan zat galian tertentu sangat mustahak untuk kesihatan ibu dan janin.

Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mengamalkan pemakanan sihat akan menikmati tahap kesihatan yang lebih baik bukan sahaja pada peringkat awal malah untuk tahun seterusnya.

Namun bukan semua ibu mampu menjalani gaya hidup aktif ketika mengandung. Ada yang mengalami alahan teruk sehingga memerlukan masa untuk menjamah makanan.

“Apa yang saya sering tekankan adalah makan apa sahaja secara sedikit, tetapi kerap. Elakkan pengambilan makanan pedas dan berminyak yang menyebabkan ibu mudah muntah.

Minuman berkafein juga tidak baik untuk ibu hamil. Untuk kesegaran tambahkan halia, lemon atau asam di dalam minuman dan minum banyak air kosong,” katanya.

Memasuki trimester kedua adalah fasa yang paling menyeronokkan. Ini kerana bagi ibu yang mempunyai alahan, menjelang minggu ke-13, semua alahan ini hilang sendiri. Ibu mula berselera makan dan makan apa sahaja tanpa memikirkan pertambahan berat badan mereka.

“Jangan terlalu mengikut nafsu sebaliknya pilih makanan kaya protein, zat besi, omega dan DHA yang baik untuk otak. Pertambahan kalori pada fasa ini hanyalah 200 kalori sahaja bersamaan dengan segelas susu atau enam biji badam,” katanya.

Ibu juga harus mengelak mengambil makanan berkalori tinggi, berlemak, banyak gula dan garam. Makanan segera dan snek ringan yang tidak bernutrisi seharusnya dielakkan. Jika terasa ingin mengunyah, cari kekacang perisa asli, tidak bersalut coklat atau garam yang tinggi.

Begitu juga pengambilan makanan atau minuman yang boleh memudaratkan diri dan bayi seperti minuman beralkohol atau merokok seharusnya dihentikan. Ini kerana ia mungkin boleh mengganggu perkembangan bayi dalam kandungan.

Jaga pemakanan trimester akhir

Menjalani pemeriksaan bulanan di hospital sangat penting. Ini kerana pada ketika ini berat ibu akan dipantau setiap bulan. Pertambahan berat badan secara mendadak berkemungkinan menandakan ibu mempunyai masalah kencing manis atau

darah tinggi.

“Ibu yang terlalu kurus pula berisiko melahirkan bayi kurang berat badan iaitu 2.5 kilogram ke bawah. Bukan itu sahaja kekurangan zat juga akan menyebabkan bilangan sel berkurang seterusnya menyebabkan pembentukan organ berlaku kurang sempurna,” katanya.

Pertambahan kalori pada trimester ketiga hanyalah sekitar 470 kalori sehari atau bersamaan segelas jus, seketul ayam panggang dan sayur. Pastikan hidangan mengandungi karbohidrat, protein dan vitamin yang lengkap kerana ia sangat penting untuk pertumbuhan bayi.

“Banyakkan pengambilan sayur-sayuran hijau dan pelbagai warna untuk nutrisi yang lengkap. Di samping pemakanan seimbang dan berkhasiat, wanita hamil juga perlu menitikberatkan penjagaan diri seperti rehat yang mencukupi dan amalan senaman yang sesuai,” katanya.

Penjagaan pemakanan ini harus diteruskan ketika berpantang. Ini boleh dilakukan dengan mengambil sayur-sayuran, makanan kaya protein seperti ikan atau ayam juga banyakkan minum air kosong bagi mengelak sembelit dan memastikan susu badan sentiasa ada.

“Ramai beranggapan makanan dalam pantang harus dicatu dan hanya makan ikan masin. Sebenarnya tidak, amat penting ibu mengambil makanan berkhasiat bukan sahaja untuk kesihatan dirinya tetapi juga bayi juga,” katanya.

Pastikan bayi diperiksa doktor sebaik sahaja dilahirkan dan secara berterusan sepanjang tempoh pembesarannya. Pemeriksaan dan rawatan juga perlu dilakukan setiap tahun sekiranya anda sudah merancang kehamilan seterusnya. Dapatkan juga nasihat dan saranan doktor jika anda perlu mengambil ubat-ubat tertentu sepanjang kehamilan.

B7 Jenis makanan elak keletihan ketika hamil

1. Daging tanpa lemak

Daging adalah sumber protein berkualiti tinggi. Seeloknya, cari daging tanpa lemak, tetapi elakkan makan daging diproses seperti burger atau sosej kerana ia kurang segar dan cenderung kehilangan nutrisi yang baik. Bahkan, ada risiko kecil untuk ia menjadi perantara bakteria dan parasit apabila ia dibekukan terlalu lama.

2. Kekacang dan bijian

Mengantuk ketika hamil perkara yang sering berlaku. Sekiranya anda sedang bekerja elakkan mengambil kudapan yang tidak berkhasiat sebaliknya bertukarlah kepada kekacang dan bijian seperti kuaci, badam, pistachio dan walnut. Seeloknya, cari kekacang daripada sumber asli yang tidak bergaram dan berperisa.

Semua jenis makanan ini mengandungi pelbagai nutrisi yang diperlukan tubuh untuk berfungsi dengan lebih cekap seperti folat, kalsium, serat, dan besi. Selain itu, minyak kacang walnut juga kaya dengan omega-3 untuk perkembangan otak bayi di samping membantu menangani stres ketika hamil.

3. Sayuran berdaun hijau

Manfaat sayuran untuk wanita hamil memang tidak dapat dinafikan terutama sayuran berwarna hijau tua. Bayam terutama sarat vitamin dan nutrisi, termasuk vitamin A, C dan K serta folat yang sangat penting untuk tubuh. Sayuran juga membantu meregulasikan sistem pencernaan agar semua toksin dapat disingkirkan daripada badan.

4. Buah aneka warna

Tahukah anda, makanan untuk ibu hamil perlu datang dari pelbagai sumber warna seperti hijau, merah, oren, kuning, ungu dan putih. Ini bagi memastikan bayi mendapat pelbagai nutrisi kerana setiap kelompok warna yang berbeza memberikan vitamin, mineral dan antioksidan yang spesifik untuk tubuh.

5. Kurma

Kurma salah satu makanan sunnah yang terbukti secara saintifik memberi tenaga kepada ibu hamil. Sebab itulah ia menjadi makanan pelengkap yang cukup popular pada ketika puasa. Di samping itu, ia berfungsi membantu mengendalikan denyutan jantung dan tekanan darah serta merawat sembelit.

Bukan setakat kurma, kismis, buah tin, aprikot atau apa saja buah-buahan kering juga amat baik untuk kesihatan ibu mengandung. Namun harus diambil dalam jumlah yang disyorkan sahaja.

6. Susu dan makanan berkalsium tinggi

Susu sinonim sebagai makanan untuk ibu hamil kerana ia mengandungi kalsium yang tinggi. Apabila hamil, tubuh wanita memerlukan dua kali jumlah kalsium berbanding biasa. Jika kekurangan kalsium, tubuh berasa letih, tidak sihat dan berisiko mengalami anemia (kekurangan darah).

Bagi yang alah dengan susu mereka boleh mendapatkan sumber kalsium ini melalui pelbagai jenis makanan lain seperti ikan, tauhu, keju, dan dadih. Semua jenis makanan ini memiliki nilai kalsium yang tidak kurang banyaknya berbanding susu.

7. Air kosong

Walaupun air kosong tidak mempunyai nilai nutrisi, namun ia memiliki fungsi yang amat penting untuk melancarkan keseluruhan sistem tubuh. Malah, ia mengembalikan kesegaran tubuh dan ‘menahan’ rasa lapar yang sering berlaku ketika hamil. Selama kehamilan, anda disarankan untuk minum sekurang-kurangnya dua liter air kosong sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 12:01 AM

Leave a Reply