You are currently viewing Pasangan Dengan Anak Kecil – Jangan Berpisah Tempat Tidur

Pasangan Dengan Anak Kecil – Jangan Berpisah Tempat Tidur

Jangan berpisah tempat tidur dan tidur berasingan walaupun mempunyai anak kecil!

Tulisan oleh : Salwa Mohd Saleh

Entah mengapa dan bagaimana bermula, saya juga jadi kurang pasti. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya mengambil tugas ‘Cik Sri Siantan’ yang biasanya di dada akhbar, namun saya di media sosial.

Saya kerap mendapat kiriman mesej baik dari kalangan kawan, saudara dan majoritinya orang asing yang tak saya kenali; meminta nasihat dalam pelbagai urusan dari sekecil-kecil perkara hingga sebesarnya.

Ada satu isu yang begitu rumit bagi saya dan seringkali dialami pasangan muda yang berumahtangga dengan anak-anak kecil.

Suami dan isteri tidur berasingan iaitu berpisah tempat tidur!

Mungkin nampak mudah dan remeh bagi sesetengah pihak, tetapi saya tegaskan; hal begini sangat-sangat di ambil berat oleh agama malah sangat harus dijadikan perkara utama yang dijaga di dalam sesuatu rumahtangga.

Benar, pasangan dengan anak kecil amat struggle. Apatah lagi dengan adanya bayi yang masih menyusukan. Keadaan ibu yang kerap kali tertidur selepas menyusukan bayi dan keadaan bapa yang mengambil alih tugas menidurkan anak-anak lain.

Tetapi sedarkah sebenarnya tidur berasingan ataupun berpisah tempat tidur membawa impak sangat negatif terhadap rumahtangga hingga boleh menyebabkan penceraian?

Pandangan Tentang Berpisah Tempat Tidur yang Pertama #1 Dari Sisi Agama

Saya renung kembali, mengapakah apabila seseorang isteri itu nusyuz, setelah dinasihatkan, langkah kedua adalah dengan memisahkan tempat tidur?

Jika dirujuk kembali dalam Surah An-Nisa pada ayat ke-34, ianya adalah arahan nyata.

Soalnya mengapa?

Ianya bukanlah untuk menghina atau menghukum isteri yang nusyuz, tetapi hikmahnya supaya memberi pengajaran kerana ianya akan menyentuh emosi isteri dan rasa ketidakbersamaan di tempat tidur akan mungkin ‘melembut’kan hatinya.

As-Syahid Syed Qutb menerangkan tafsirannya dalam kitab mashyur beliau FizalilQuran; hatta memisahkan tempat tidur itu pun perlu 4 hak ditunaikan, antaranya tidak sehingga anak-anak merasakan kerenggangan dan isteri tidak rasa dimalukan.

Sehingga begitu sekali! Bagaimana pula isteri yang tidak nusyuz tetapi sudah bertahun-tahun dibiarkan tidur bersama anak kecil walaupun kerapkali dibangkitkan isu ini?

Isu Berpisah Tempat Tidur yang Kedua #2 Mengganggu Mood Seharian

Jika pasangan anda, suami atau isteri kerap marah-marah, moody di waktu pagi, kerap rasa tertekan dan keadaan seumpanya; semaklah semula. Adakah cukup kasih sayang yang telah diberikan.

Walaupun bunyinya lucu, tetapi kasih sayang tidak akan hidup tanpa dibaja setiap hari. Tidak pula hanya hidup dengan kepercayaan, pengorbanan, saling memahami.

TIDAK.

Alasan-alasan ini boleh dicipta namun sejauh mana akan mampu bertahan tanpa pelukan, kata mesra, pemberian hadiah dan pembuktian cinta?

Kerana itulah makin banyak pasangan yang hambar, mula curang, rasa tak dihargai, rasa terbeban, rasa rumahtangga hanya wujud atas sebab anak-anak; dan bukan atas dasar hangatnya cinta.

Kajian yang dilakukan oleh Dr Brant P. Hasler dan Dr Wendy M Troxel cuba mencari corelation antara situasi pasangan yang tidur bersama dan hubungan mereka di siang hari. Hasil rumusan kajian ini menunjukkan terdapat hubungan secara lansung di antara pasangan yang tidur bersama dan mempunyai hubungan yang sihat secara emosi dan fizikal.

Isu Berpisah Tempat Tidur yang ketiga #3. Pasangan Bukan Robot atau Hamba

Jika kita hanya mendatangi pasangan untuk hubungan intim, dan memeluk mesra hanya kerana mahu melakukan hubungan; berhati-hatilah.

Jangan pelik atau hairan kenapa pasangan tidak menunjukkan minat atau bersungguh mahu melayan. Mungkin pasangan anda sudah tawar hati atau merasakan dirinya hanya sekadar pelengkat atau hamba seks sahaja mungkin.

Dr Barton Goldsmith, seorang psychotherapist dan emotional fitness menulis tentang betapa pentingnya tidur bersama pasangan di atas katil yang sama. Tidur bersama menghasilkan energi yang lebih besar daripada melakukan hubungan intim!

Tidak hairanlah jika isteri ada yang kemaruk drama atau membaca novel sahaja. Kerana hanya dengan itu dapat menikmati rasa cinta walauoun rekaan semata. Itu baru yang kahwin setahun dua.

Bayangkan jika sudah bertahun tidur berasingan?
Jangan sampai berasingan selamanya baru kita ingin bertindak!

Berpisah Tempat Tidur Perkara Keempat #4 Contoh Tidak Baik kepada Anak-anak

Anak-anak walaupun kecil, nampak tidak faham namun mereka mungkin sudah tersalah faham. Mereka tidak tahu bahawa ibu dan bapa harus sebilik bersama kerana mereka beranggapan memang patutnya tidur berasingan.

Ini akan terbawa-bawa hingga mereka besar dan menggangu pemahaman mereka tentang keperluan berkeluarga.

Rumit bukan?

Carilah jalan penyelesaian sebelum terlambat. Kedua-dua pihak harus memainkan peranan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatasi masalah ini. Biarlah di atas katil ada ibu,bapa dan bayi atau anak kecil, namun jangan sesekali tidur berasingan.

Saya bukan pakar
Saya bukan sesiapa
Saya hanya mengingatkan kepada yang lupa sebelum nanti menyesal dengan kealpaan diri hingga kecewa!

#SalwaSaleh
#DramaWonderEmak

Leave a Reply