You are currently viewing Tips Penjagaan Kandungan Awal Trimester

Tips Penjagaan Kandungan Awal Trimester

Tahukah anda bahawa kandungan awal kehamilan amat penting dan perlu dijaga dengan betul? Hal ini dikatakan demikian kerana, keguguran boleh berlaku pada awal kehamilan. Justeru itu, Cik Min nak kongsikan tips penjagaan kandungan awal trimester kepada bakal ibu dan ayah.

Bukan ibu sahaja yang perlu tahu mengenai cara penjagaan kandungan ini. Malahan, ayah juga perlu belajar mengenai hal ini kerana kandungan memerlukan pemerhatian daripada kedua-duanya. Selain itu, penjagaan yang betul sewaktu awal kehamilan juga akan mempengaruhi kesihatan fizikal dan mental anak yang bakal dilahirkan.

Apa itu Kandungan Awal Trimester/Kehamilan?

Secara umumnya, kandungan awal kehamilan ini adalah dalam tempoh tiga bulan pertama kehamilan. Umum mengetahui, proses kehamilan yang sihat dan normal mengambil masa selama 40 minggu atau 9 bulan. Secara terperincinya, kandungan awal kehamilan melibatkan minggu pertama hingga minggu 12 kehamilan. Pada masa yang sama, pelbagai perubahan yang akan terjadi kepada kandungan dan ibu mengandung.

Perubahan yang Terjadi Sewaktu Kandungan Awal Trimester | Tips Penjagaan Kandungan Awal Trimester

Menurut Dr. Sri Viknarajan menerusi penulisannya di laman web Doctor On Call, mengatakan ibu mengandung akan mengalami banyak perubahan semasa 12 minggu pertama kehamilan. Antara perubahannya adalah seperti berikut:

  • Muntah
  • Penat
  • Sakit perut
  • Mengidam
  • Sakit kepala
  • Pertambahan berat badan
  • Sensitif terhadap bau dan makanan
  • Perubahan emosi

Tips Penjagaan Kandungan Awal Trimester

Tips Penjagaan Kandungan Awal Trimester

Terdapat enam tips kandungan yang perlu dijaga semasa trimester pertama berdasarkan laman web theAsianparent.

#1 Mengamalkan Makanan Tambahan

Kebiasaannya, kecacatan yang melibatkan organ tubuh bayi berlaku semasa trimester pertama kehamilan. Oleh itu, ibu mengandung disarankan untuk mengambil makanan tambahan bagi menghindarkan kecacatan pada bayi.

  • Pengambilan makanan yang kaya karbohidrat. Hal ini kerana, karbohidrat membantu memberikan tenaga yang diperlukan oleh ibu mengandung dan kandungan.
  • Ibu mengandung perlu mengambil makanan yang kaya dengan protein. Protein penting untuk pertumbuhan dan pembinaan tisu tubuh pada bayi dan ibu mengandung.
  • Ibu mengandung perlu mengambil vitamin dan zat galian bagi mencegah jangkitan penyakit pada janin dalam kandungan.

#2 Jangan Mengambil Ubat Tanpa Kebenaran Doktor | Tips Penjagaan Kandungan Awal Trimester

Semasa awal kehamilan, ibu mengandung akan mengalami perubahan pada tubuh badan seperti alahan, batuk, sakit kepala, atau tidak sedap badan. Ia adalah normal bagi kandungan di awal trimester. Oleh itu, jangan mengambil sebarang ubat tanpa kebenaran doktor. Sekiranya anda tidak tahan akan perubahan yang berlaku, dapatkan nasihat daripada doktor.

#3 Berhenti Merokok

Asap rokok boleh mendatangkan risiko kesihatan terhadap ibu dan bayi yang dikandung. Oleh itu, sekiranya persekitaran ibu mengandung terdedah kepada asap rokok, perokok dinasihatkan untuk berhenti bagi mencegah daripada perkara yang tidak diingini berlaku kepada bayi dan ibu mengandung.

Sekiranya ibu atau orang berdekatannya tetap berdegil masih merokok, kesan asap rokok ini boleh mengakibatkan bayi cacat, sesak nafas, sakit jantung, dan mungkin boleh menyebabkan kematian.

#4 Elak Melakukan Aktiviti Lasak | Tips Penjagaan Kandungan Awal Trimester

Aktiviti lasak dan berat boleh menjadi punca berlakunya keguguran pada awal kehamilan, terutama bagi ibu mengandung yang mempunyai masalah rahim rendah. Oleh hal yang demikian, ibu mengandung dinasihatkan agar tidak membuat banyak aktiviti lasak dan mengangkat barang yang berat.

#5 Mengawal Emosi

Tidak dinafikan bahawa ibu mengandung sememangnya sensitif, mudah tersinggung, dan emosi yang tidak stabil. Oleh hal yang demikian, ibu mengandung dinasihatkan agar mempersiapkan diri dengan bersabar terhadap hal-hal yang tertentu.

#6 Banyakkan Rehat | Tips Penjagaan Kandungan Awal Trimester

Sekiranya ibu mengandung penat melakukan sebarang aktiviti seharian, terus rehatkan diri. Jangan memaksa diri untuk meneruskan aktiviti tersebut. Misalnya, jika sudah seharian bekerja, jangan memikirkan perihal kerja sehingga terbawa-bawa ke rumah. Di rumah adalah tempat anda untuk berehat dan lapangkan minda daripada perkara yang mendatangkan tekanan.

Tips Penjagaan Kandungan Awal Trimester

Makanan yang Perlu untuk Ibu Mengandung | Tips Penjagaan Kandungan Awal Trimester

Menurut Norhaslinda Jefrezen yang merupakan Pakar Dietetik menerusi akhbar Harian Metro, mengatakan ibu hamil perlu mengambil lebih 300 kalori sehari bagi memenuhi keperluan ibu dan bayi. Oleh hal yang demikian, diet mereka perlu diisi dengan makanan berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, susu, dan kekacang.

Selain itu, ibu mengandung juga amat memerlukan nutrien seperti asid folik dan Vitamin B12. Nutrien ini bukan sahaja diperlukan oleh ibu mengandung, tetapi bayi dalam kandungan juga amat memerlukannya. Asid folik boleh didapati pada sayur-sayuran seperti sawi, bayam, dan brokoli. Bagi memudahkan ibu mengandung, mereka boleh mengambil asid folik yang dijual di farmasi berdekatan. Anda boleh baca lebih lanjut mengenai asid folik di sini.

Sebelum mengambil sebarang vitamin atau apa-apa zat galian, pastikan ibu mengandung mendapatkan nasihat terlebih dahulu daripada pakar seperti doktor yang bertauliah.

Kepada bakal ibu dan ayah, perlulah prihatin terhadap kandungan awal kehamilan dengan mengikuti tips penjagaan kandungan awal trimester ini. Cukup sampai di sini sahajalah perkongsian pada kali ini. Cik Min harapkan agar artikel ini dapat memberikan informasi yang berguna kepada anda.

Sudi-sudilah singgah di blog Lunatots untuk membaca lebih banyak info yang berguna tentang tips-tips keibu-bapaan. Selain itu, terdapat banyak lagi artikel-artikel yang menarik di blog Lunatots ini.

Klik di sini untuk baca.

Sekian daripada Cik Min, jumpa lagi di entri yang akan datang!

Penafian Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

 

Leave a Reply