You are currently viewing 6 Teknik Ibubapa Berhadapan dengan Anak yang Pemarah

6 Teknik Ibubapa Berhadapan dengan Anak yang Pemarah

Oleh Puan Suraya Ali
www.surayaali.com

Berhadapan dengan anak yang pemarah atau mudah marah bukanlah mudah jika ibubapa tidak mempunyai ilmu.
Enam perkara ini dapat membantu ibubapa menjadi ibubapa yang bijak apabila berhadapan dengan anak yang pemarah biar berapa pun usianya.
Seawal usia anak dua ke tiga tahun kita akan dapat mengesan anak yang mudah naik marah ini berbanding anak yang sebelumnya (jika kita ada) dan sesuatu perlu dilakukan dengan segera sebelum anak ini meningkat dewasa.
Namun biar berapapun usia anak kita, kita masih belum terlambat.

10 Teknik ini dapat membantu kita mengatasi masalah anak yang pemarah.

Perkara Pertama : Kenali Sikap Ini
Tak kenal maka tak cinta kan. Eh macam tak kena je. Maksud saya, kita perlu mengenali apakah tanda tanda marah?
Perasaan marah wujud apabila kita kehilangan sesuatu milik kita.
Ia boleh jadi anak kecil ini kehilangan sesuatu yang dirasakan miliknya seperti perhatian ibu bapa.

Anak kecil yang menunjukkan sikap marah akan kerap membentak apabila barangnya diambil atau apa yang dimahukannya tidak diberikan oleh penjaga.
Manakala anak yang lebih besar akan lebih lantang menyuarakan perasaannya seperti “Saya tidak mahu dengar apa Mama cakap” ataupun mendengus dan berpaling.

Ianya petanda bahawa sesuatu perlu dilakukan!

Perkara Kedua : Kenalpasti Apa Masalah Sebenar

Apabila situasi kemarahan berlaku, kedua-dua pihak selalunya memfokuskan kepada penyelesaian sementara. Iaitu “Apa masalahnya sebenarnya ni?”. Jika kemarahan (atau tangisan) anak itu kerana dia mahukan tabletnya, maka penyelesaiannya boleh jadi:
1. Memberikannya tablet itu atau
2. Tetap konsisten tidak mahu memberikannya.

Keseluruhan konteks kita dibawa ke dalam topik tablet sahaja.
Itu bukan masalah sebenar. Masalah sebenar ialah anak menjadi marah apabila ibu atau bapanya mengawal penggunaan tabletnya.
Jadi penyelesaiannya yang perlu difokuskan ialah bagaimana anak ini mahu mengawal perasaannya apabila sesuatu berlaku.
Apakah ‘kehilangan’ sebenar anak ini. Kasih sayang kah? Perhatian? Atau rasa keyakinan?

Isu kedua barulah isu mengawal penggunaan tablet untuk anak.

Perkara Ketiga : Ibubapa adalah Model Sebenar

Anak kita menuruti model mereka sejak mereka lahir lagi iaitu diri kita sebagai ibu bapa. Buat semakan bagaimana kita mengendalikan emosi apabila sesuatu berlaku. Adakah kita menjadikan ‘marah’ itu sebagai senjata yang melukakan atau ubat yang merawat?

Sikap kita hari ini adalah penghasilan psikologi yang berlaku sejak kita kecil. Mahukah kita mewarisi kemarahan dan kekecewaan kepada generasi seterusnya biar apapun alasan kita terhadap kemarahan?
Pasti tidak bukan.
Perkara yang perlu diubah boleh jadi adalah sikap kita.

Perkara Keempat : Rendahkan Tona Suara
Mulakan dengan nada suara kita.
Setiap kali kita mahu marah atau melihat anak mula membentak, mulakan dengan nada suara berbual seperti “Mama lihat adik mula mahu marah. Tarik nafas dan bertenang. Ambil masa duduk disini dan fikirkan perkara yang baik.”

Jangan tinggalkannya begitu sahaja.
Beritahunya yang mama sentiasa ada disini bersedia mendengar apabila dia bersedia untuk memberitahu punca kemarahannya.
Hormatinya sebagai manusia.
Sepertimana apa yang kita akan lakukan kepada kawan kawan kita yang sedang ada masalah.

Usah membebel dan jauhi perbuatan menjerit.
Bukan kerana dia anak kita, maka kita ada hak memarahinya semula. Tapi kerana dia adalah anak kita maka kita perlu membesarkan individu yang berkeyakinan untuk meneruskan kebaikan.

Perkara Kelima : Empati Dahulu

Manusia sukar untuk  mendengar apabila dia rasa dia tak didengari.
Selalunya kita mahukan anak kita mempunyai sikap sikap mulia jadi perkataan ibubapa dimulai dengan “Tak baik buat begitu. Jangan gaduh dengan kawan”

Ianya seolah-olah menidakkan emosinya.
Dengarinya dahulu.
Beritahunya “Mama faham, adik sedih” Atau “Mama tahu abang tengah marah. Mama pun akan rasa yang sama juga jika mama ialah abang”

Bersetuju dahulu.

Katakan dia menjatuhkan barang kerana marah. Biasanya kita mulakan “Kenapa jatuhkan barang? Elokke perangai begitu?”
Manusia yang sedang marah tidak dapat menerima penolakan mahupun kritikan.
Pandangnya dan tanya “Abang ok? Abang ada marahkan sesiapa atau apa apa? Mahu kongsi dengan mama?”

Jika anak masih kecil dan belum memahami, peluknya dah usap belakang badannya.

Perkara Keenam : Menggalakkan Perbualan

Beritahunya “Jika abang bercerita dengan menangis, mama tak dapat dengar dengan baik. Bertenang, tarik nafas dan mulakan semula”

Beri perhatian sepenuhnya ketika dia bercerita.
Bila dia memberitahu sesuatu, pujinya “Mama suka abang berterus terang. Ianya sikap yang bagus”

Puji anak yang mula merendahkan suaranya selepas marah”Bagus nada suara ni. Adik teruskan bercakap begini walaupun waktu marah ya”

Bagi anak yang lebih kecil “Anak mama suka berusaha dan sayangkan kawan-kawannya. Sama macam sikap Rasulullah dan sahabatnya.”
Atau bagi yang belum memahami, berikan tepukan dan raikan selepas anak berhenti menangis dan mula bertenang.

Teknik mendidik perlu dilakukan sebagai sahabat dan pendorong. Bukannya sebagai ibubapa yang lebih berkuasa.

Leave a Reply