You are currently viewing Tips Latih Anak Berpuasa

Tips Latih Anak Berpuasa

Alhamdulillah, tidak lama lagi akan masuk fasa bulan Ramadan. Cik Min yakin pasti ramai ibu dan ayah yang teruja nak melatih anak untuk berpuasa nanti. Namun, berpuasa dalam kalangan kanak-kanak bukanlah satu kewajipan. Walau bagaimanapun, ibu dan ayah boleh ikuti beberapa tips latih anak berpuasa di bulan Ramadan dengan mudah, seperti yang akan Cik Min kongsikan.

Segala tips berpuasa untuk anak kecil ini, Cik Min dapatkan daripada laman web theAsianparent, I-Medik, dan beberapa laman web lain. Jom ikuti kupasan lebih lanjut seperti di bawah.

Pada Umur Berapakah Anak Perlu Dididik untuk Berpuasa?

Menerusi Irsyad Fatwa Khas Ramadan Siri ke-163, ulama bersependapat bahawa kanak-kanak yang belum baligh, tidak diwajibkan untuk berpuasa sebagaimana dalam sabda Rasulullah SAW:

“Terdapat tiga golongan yang amalan mereka tidak dicatat: seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehinggalah dia terjaga dan seorang yang hilang akalnya sehinggalah dia kembali waras.”

Sunan Abi Dawud (4402)

Walau bagaimanapun, ulama menyimpulkan bahawa ibu bapa atau wali, perlu mengajar dan menyuruh anak-anak untuk berpuasa seawal umur tujuh tahun. Sekiranya mereka sudah berumur 10 tahun dan enggan menurut, didiklah mereka dengan pukulan yang ringan. Hukum ini dikiaskan dengan hadis mendidik anak untuk solat yang dinyatakan seperti di bawah:

“Ajarilah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia tujuh tahun, dan apabila dia berumur sepuluh tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan melukakan dengan tujuan untuk mendidik).”

Sunan Abi Dawud (494) (Rujuk Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-‘Ain bi Muhimmat al-Din, hlm. 38 dan Fiqh al-Siyam hlm. 23)

Tips Latih Anak Berpuasa

Terdapat enam cara untuk melatih anak-anak untuk berpuasa seperti dibawah:

#1 Ajar Anak Tentang Puasa dan Kebaikannya | Tips Latih Anak Berpuasa

Melatih anak untuk berpuasa, bukanlah suatu perkara yang mudah. Oleh itu, ibu dan ayah perlulah memberikan kefahaman kepada anak-anak tentang puasa dan kebaikannya.

Misalnya, menerangkan tentang maksud puasa, iaitu menahan diri daripada makan dan minum dari terbit fajar hingga terbenam matahari (maghrib).

Selain itu, ibu dan ayah juga perlu nyatakan tentang kebaikan berpuasa. Contohnya:

  • Mengingati orang yang kurang berkemampuan (tiada makanan) serta mengajar anak erti syukur.
  • Menahan diri daripada membuat dosa.
  • Puasa baik untuk kesihatan.

Tips Latih Anak Berpuasa

#2 Sediakan Makanan yang Seimbang | Tips Latih Anak Berpuasa

Pastikan ibu dan ayah menghidangkan makanan yang sihat untuk anak-anak sewaktu berbuka dan bersahur. Dr. Anayasmin yang merupakan Pakar Pediatrik menerusi I-Medik, mengatakan bahawa anak-anak perlu bersahur pada waktu yang agak lewat dengan diberikan makanan dari sumber karbohidrat, protein, dan lemak. Hal ini dikatakan demikian kerana, makanan tersebut membekalkan sumber tenaga.

Elakkan daripada memberikan makanan atau minuman manis kepada anak-anak sewaktu bersahur. Hal ini dikatakan demikian kerana, makanan dan minuman manis akan menyebabkan anak-anak kurang bertenaga dan inginkan makanan manis sewaktu berpuasa.

#3 Latih Anak Tidur Awal | Tips Latih Anak Berpuasa

Ibu dan ayah perlulah melatih anak untuk tidur awal bagi memudahkan anak-anak bangun pagi untuk bersahur. Sewaktu mengejutkan anak-anak untuk bersahur, jangan menjerit memanggil mereka bangun seperti “Aqil! Bangun!!!” Hal ini menyebabkan anak-anak berasa tidak seronok untuk bangun bersahur, malah akan memberontak dan tidak ingin berpuasa.

Sebaiknya, ibu dan ayah kejutlah mereka dengan cara mengusap-usap tubuhnya dengan lemah lembut serta memberikan pujian kepada mereka. Contohnya, “Aqil, bangun jom. Jom sahur. Ibu ada masak makanan kegemaran Aqil. Aqil anak soleh, kan? Jom bangun. Bagusnya Aqil anak ibu ni nak puasa.”

#4 Hafal Niat Puasa Bersama Anak | Tips Latih Anak Berpuasa

Sebelum berpuasa, ajar anak-anak untuk menghafal niat puasa. Ibu dan ayah perlu beritahu mereka bahawa niat puasa adalah wajib dalam syarat sah puasa. Bagi memudahkan penghafalan niat puasa, ibu dan ayah bolehlah menyanyikan lagu Raihan, iaitu Niat Puasa Ramadan bersama anak-anak.

“Sahaja aku berpuasa esok hari untuk menunaikan fardu Ramadan, tahun ini kerana Allah”

#5 Latih Secara Berperingkat/Berikan Kelonggaran | Tips Latih Anak Berpuasa

Ibu dan ayah harus ingat, bahawa kanak-kanak tidak diwajibkan berpuasa. Oleh itu, berikan mereka sedikit kelonggaran untuk berbuka sekiranya mereka tidak tahan untuk meneruskan puasa. Cara lain yang boleh ibu dan ayah lakukan adalah dengan meminta anak untuk berpuasa sehingga jam 10 pagi. Pada minggu berikutnya, minta anak untuk berpuasa sehingga separuh hari, iaitu berbuka pada jam 12 tengah hari. Cara ini boleh dilakukan secara berperingkat.

Sekurang-kurangnya, mereka dapat merasai suasana berpuasa walaupun sekejap. Lama-lama pasti mereka ingin berpuasa.

#6 Sorokkan Makanan Kegemarannya Sewaktu Berpuasa

Semasa melatih anak berpuasa, ibu dan ayah perlulah menyimpan makanan kegemaran daripada pandangan mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana, anak-anak mungkin akan meminta untuk berbuka lebih awal kerana ternampak makanan kegemarannya. Sekiranya anak-anak berumur 5 tahun, tidak mengapa jika mereka ingin berbuka. Tetapi, jika anak berumur 10 tahun, sebaiknya soroklah makanan tersebut.

Tips Latih Anak Berpuasa

 

Jika anak-anak belum bersedia untuk berpuasa, ibu dan ayah jangan paksa mereka ya… Ajar mereka tentang ibadah wajib terlebih dahulu seperti solat, dan diikuti dengan ibadah puasa. Cukup sampai di sini sahajalah perkongsian pada kali ini. Cik Min harapkan agar artikel mengenai tips latih anak berpuasa ini dapat memberikan informasi yang berguna kepada ibu dan ayah.

Sudi-sudilah singgah di blog Lunatots untuk membaca lebih banyak info yang berguna tentang tips-tips keibu-bapaan. Selain itu, terdapat banyak lagi artikel-artikel yang menarik di blog Lunatots ini.

Klik di sini untuk baca.

Sekian daripada Cik Min, jumpa lagi di entri yang akan datang!

Penafian Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Leave a Reply